PENYERANG prolifik Sabah FC, Amri Yahyah membuktikan ketajamannya apabila meledak dua gol menewaskan Melaka United 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.
Bekas penyerang sensasi skuad kebangsaan itu tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan seawal minit keenam sebelum meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-47.
Satu lagi gol skuad bimbingan Kurniawan Dwi Yulianto itu diperoleh menerusi pemain tengah, Azzizan Nordin pada minit ke-17, manakala jaringan tunggal Melaka dijaringkan Fakhrullah Rosli pada minit ke-66.
Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat skuad Sang Badak itu di laman sendiri selepas terdahulu menewaskan Perak FC 2-1 pada Ahad lalu.
Lebih menarik, ia adalah perlawanan kelima berturut-turut tanpa kalah buat Sabah sejak kali terakhir mereka tewas dalam saingan Liga Super dengan keputusan 1-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 6 April lalu.
Sebagai rekod, Sabah kini mengumpul 16 mata selepas mengharungi 12 perlawanan Liga Super dengan empat kemenangan, empat seri dan empat kekalahan.
Selepas ini, skuad Sang Badak akan menanti kunjungan Kedah Darul Aman FC yang baru sahaja kalah kepada JDT semalam, menjelang aksi ke-13 di Stadium Likas pada Sabtu ini. – K! ONLINE