LONDON – Kematian berkaitan alkohol di England dan Wales mencatat angka tertinggi dalam tempoh 20 tahun disebabkan peningkatan mendadak yang berlaku semasa perintah berkurung Covid-19 atau lockdown dilaksanakan, demikian menurut data kerajaan hari ini.
Angka daripada Pejabat Statistik Nasional (ONS) itu menunjukkan terdapat 7,423 kematian akibat penyalahgunaan alkohol pada tahun lalu, meningkat 20 peratus berbanding 2019.
Peningkatan mendadak itu didorong pertambahan 17 peratus pada suku kedua selepas Britain melaksanakan perintah berkurung Covid-19 pertama pada Mac 2020 dengan peningkatan 22 dan 28 peratus direkodkan pada suku berikutnya.
Angka ONS itu menggariskan bahawa sebahagian besar kematian mempunyai kaitan dengan ketagihan alkohol jangka panjang panjang termasuk penyakit hati, keracunan alkohol dan kecelaruan mental serta tingkah laku akibat penggunaan alkohol.
“Kematian tersebut bukan tidak boleh dielakkan tetapi merupakan antara kesan tidak langsung disebabkan pandemik Covid-19,” kata ketua Institut Kajian Alkohol, Sadie Boniface. – AFP