KOTA BHARU – Kerajaan negeri menetapkan syarat pematuhan 30 peratus kehadiran pekerja di semua pejabat kerajaan dan swasta di Kelantan bermula Ahad ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr. Izani Husin berkata, ia merupakan langkah untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di pejabat.
Katanya, 70 peratus kakitangan awam dan swasta perlu bekerja dari rumah bertepatan dengan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada kali ini.
“Kakitangan yang diberi kebenaran kerja di rumah ini perlu bekerja dari rumah. Syarikat atau agensi kerajaan perlu memantau pergerakan pekerja agar mereka benar-benar bekerja dari rumah.
“Keputusan itu dibuat berikutan kes harian Covid-19 di Kelantan masih mencatatkan jumlah tiga angka setiap hari,” katanya selepas Mesyuarat Penyelarasan Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Bagi Mengawal Penularan Covid-19 di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.-K! ONLINE