VILLARREAL – Ketua jurulatih Villarreal, Unai Emery sudah tidak sabar untuk mencatat kemenangan berturut-turut ke atas bekas pasukannya, Arsenal menjelang separuh akhir kedua Liga Europa di Stadium Emirates awal pagi esok.
Jika berjaya, Emery, 49, akan menebus maruahnya dengan penuh bergaya kerana menyingkirkan The Gunners daripada satu-satunya kejohanan yang mampu menawarkan tempat buat mereka ke pentas Eropah musim depan.
Pengendali dari Sepanyol itu turut yakin bahawa pasukannya mampu mengulangi pencapaian sama ketika menewaskan Arsenal 2-1 sewaktu pertemuan separuh akhir pertama di Estadio de la Ceramica minggu lepas.
Bagi Emery, kunci kemenangan mereka ketika itu adalah disebabkan dua jaringan awal dalam babak pertama menerusi Manu Trigueros seawal minit kelima dan Raul Albiol pada minit ke-29.
“Kami akan mengharungi perlawanan ini dengan perancangan yang sama seperti aksi pertama. Kami mahu menguasai permainan dan membuktikan personaliti pasukan,” katanya.
Sementara itu, penjaring gol pertama Villarreal, Trigueros menegaskan, dia dan rakan-rakan sepasukannya enggan melakukan kesilapan sama membenarkan Arsenal meraih kelebihan satu gol tempat lawan menerusi.
“Arsenal terselamat sewaktu separuh akhir pertama kerana kesilapan kami memberikan sepakan penalti. Kami sepatutnya tidak membenarkan ia berlaku dan kini peluang terbuka buat kedua-dua pasukan,” jelasnya.
Untuk aksi kali ini, Villarreal tidak dapat menurunkan Etienne Capoue, manakala Arsenal juga berdepan nasib sama dengan Dani Ceballos selepas kedua-dua pemain itu dilayangkan kad merah minggu lepas. – AGENSI