PETALING JAYA – Pelakon Elfira Loy memasuki senarai terkini golongan selebriti yang selesai menerima suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca.
Dia berkongsi mengenai perkara tersebut menerusi hantaran Instagramnya sebentar tadi sambil memuat naik gambar memegang plakad ‘saya sudah divaksin’.
Elfira, 28, menerima suntikan dos pertama vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.
“Alhamdulillah, saya telah menunaikan tanggungjawab. Suntikan dos pertama selesai.
“Masih terlalu awal untuk bercerita tentang simptom, tetapi saya akan berkongsi mengenainya selepas tempoh 24 jam okey,” tulisnya.
Pada masa sama, ibu kepada seorang cahaya mata itu turut memberi tips kepada pengikut Instagramnya tentang langkah-langkah yang perlu dilakukan sebelum pergi ke pusat suntikan.
“Datang awal. Sebab selalunya sesi sebelum kalian akan habis awal. Jadi kalau kalian datang awal, orang tak ramai.
“Macam saya, sepatutnya pukul 3. Orang-orang yang ada temu janji seperti saya datang serentak pukul 3, jadi ramai. Saya datang pukul 2.30 petang dan pukul 3 sudah selesai semuanya. Alhamdulillah. Jangan lupa sediakan kad pengenalan siap-siap,” katanya.
Elfira berkata, dia akan berkongsi mengenai simptom yang dialaminya selepas menerima suntikan tersebut pada hari esok.
Terdahulu, beberapa selebriti tanah air selesai menerima suntikan pertama vaksin antaranya Kavita Sidhu dan Datuk A. Aida. – K! ONLINE