GEORGE TOWN – Kira-kira 86 peratus daripada 6,022 anggota dan pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang telah menerima vaksin Covid-19.
Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, kesemua yang telah menerima suntikan vaksin itu adalah dalam kalangan anggota yang bertugas di lapangan dan perlu berdepan orang awam termasuk petugas di sekatan jalan raya.
“Kita telah mendapat komitmen daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyelesaikan suntikan vaksin Covid-19 kepada anggota dan petugas yang masih belum menerimanya.
“Kesemua anggota perlu mendapat vaksin Covid-19 yang lengkap kerana kita perlu gerakkan mereka di lapangan untuk menjalankan tugas,” katanya ketika ditemui di IPK Pulau Pinang di sini hari ini.
Sebelum ini pada 28 Februari lalu, Pulau Pinang memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menjadi penerima pertama vaksin berkenaan.
Selain Kon Yeow, Sahabudin turut menjadi antara 11 individu terawal di Pulau Pinang yang menerima suntikan vaksin berkenaan.- K! ONLINE