RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 berjaya mengagalkan cubaan untuk menyeludup 10 ekor lembu dari negara jiran bernilai RM98,000 selepas menahan sebuah lori di hadapan sebuah kedai tayar di Kampung Repek, Pasir Mas semalam.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, lori yang dipandu oleh seorang pemandu dan kelindan masing-masing berusia 25 tahun itu ditahan pada pukul 5 petang.
Katanya, anggota PGA menahan lori itu selepas melihat ia dipandu dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan rutin di Kampung Repek.
“Ketika ditahan, pemandu lori itu mengemukakan dokumen berkenaan muatan 10 ekor lembu yang meragukan.
“Siasatan awal mendapati lembu-lembu yang dibawa itu sedang dalam perjalanan menuju ke Kedah untuk dijual sebagai persediaan sempena Hari Raya Aidilfitri ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azhari, kesemua lembu yang dirampas dan pemandu serta kelindan dibawa ke Kompeni Tektikal di Jeram Perdah di sini untuk pemeriksaan lanjut.-K! ONLINE