TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 merampas sebanyak 700 kilogram (kg) daun ketum yang bernilai RM21,000 dalam serbuan di sebuah bengkel kereta di Kampung Bunohan, di sini semalam.
Pegawai Pemerintah Medan PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, serbuan pada pukul 3.30 petang itu dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran ketum di dalam bengkel berkenaan.
Katanya, ketika serbuan dijalankan, anggota PGA melihat dua orang lelaki sedang berada di dalam bengkel tersebut.
“Bagaimanapun, mereka terus melarikan diri ke dalam kawasan semak di belakang bengkel selepas ternampak kehadiran anggota PGA.
“Pemeriksaan lanjut telah membawa kepada penemuan longgokan plastik hitam yang dipercayai mengandungi daun-daun ketum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati daun-daun ketum itu dipercayai untuk dijual di pasaran sekitar daerah ini dan secara kecil-kecilan di Kampung Bunohan.
Katanya, kesemua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. -K! ONLINE