CHANGLUN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menyita aset dan wang tunai membabitkan kes rasuah dan salah guna kuasa dianggarkan bernilai RM8.1 juta sepanjang tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap berkata, jumlah sitaan itu meningkat hampir empat kali ganda berbanding dua tahun sebelumnya.
Katanya, sepanjang 2019, nilai wang tunai dan aset yang disita serta dilucut hak berjumlah RM2.25 juta diikuti RM2.1 juta pada tahun lalu.
“Pada tahun ini, jumlah sitaan mencecah RM8.1 juta pada Mei dan kami menjangkakan ia akan terus meningkat.
“Ini merupakan bukti betapa kami amat komited dalam membanteras rasuah di negeri ini, justeru semua pihak diharap berhenti daripada melakukan perbuatan yang menghancurkan negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan pemberian sumbangan dalam Program Ziarah Kasih SPRM Kedah dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah serta sebuah kedai buku ternama di Masjid Ibnu Sina, Kampung Tradisi Lembang Keriang di sini hari ini. – K! ONLINE