JEREZ – Legenda MotoGP, Valentino Rossi menyuarakan kekecewaan selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol malam kelmarin di kedudukan ke-17.
Dia yang juga pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT) mengharungi aksi terburuk sepanjang karier apabila hanya mengumpul empat mata dalam empat perlumbaan setakat ini.
Meskipun beraksi di Jerez yang merupakan litar kegemarannya, namun Rossi gagal menunjukkan prestasi sebenar apabila berada di kelompok belakang sepanjang saingan.
“Satu perlumbaan yang sangat sukar kerana saya langsung tidak menemui rentak sepanjang minggu ini. Ini bukanlah keputusan yang saya mahukan.
“Saya berada dalam situasi sukar ketika ini tetapi pasukan sentiasa memberikan sokongan penuh. Selepas ini, kami akan melakukan ujian bagi memastikan jentera lebih kompetitif,” kata Rossi.
Pelumba berusia 42 tahun itu tanpa berselindung mengakui dia berdepan masalah teknikal pada perlumbaan tersebut sehingga menyebabkan jentera gagal mencapai potensi sebenar.
“Sukar untuk saya memecut lebih laju apabila jentera ada masalah. Apa yang boleh saya lakukan adalah optimis serta yakin dengan pasukan. Kami perlu selesaikan masalah ini sebelum perlumbaan seterusnya,” ujarnya. – AGENSI