JEREZ – Pelumba pasukan Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo mengakui masalah kecederaan arm pump yang muncul secara tiba-tiba menyebabkan impiannya untuk melakar kemenangan hatrik pada perlumbaan musim ini musnah.
Pelumba Perancis tersebut berada dalam posisi terbaik untuk menjulang kemenangan dengan memimpin perlumbaan di Grand Prix (GP) Sepanyol selepas memulakan saingan di petak pertama.
Meskipun ketinggalan pada awal perlumbaan, Quartararo hanya memerlukan empat pusingan untuk merebut semula posisi hadapan apabila memintas Francesco Bagnaia, Franco Morbidelli dan Jack Miller.
Quartararo yang dikenali El Diablo memecut laju dan merekodkan masa terpantas satu minit 37.770 saat dan dilihat tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan ketiganya pada musim ini.
Bagaimananpun, pada baki 12 pusingan terakhir dia ‘diserang’ masalah kesakitan pada otot lengannya atau dikenali sebagai arm pump menyebabkan dia hilang kekuatan untuk memecut dan mengawal jentera dengan baik.
“Hari ini arm pump jelas menjadi masalah. Pada baki 10 pusingan terakhir saya mampu menahan Jack Miller dengan jarak satu saat.
Secara tiba-tiba saya tidak dapat merasakan lengan kanan saya sendiri.
“Kami berada di posisi yang sangat baik untuk menang. Saya mampu untuk pecut lebih laju ketika itu. Saya sangat kecewa kerana ketika itu kekuatan lengan saya seakan hilang.
“Saya akui tindakan meneruskan perlumbaan sangat berbahaya tetapi saya tidak mahu menyerah kerana satu atau dua mata penting dalam perebutan gelaran musim ini. Saya cuba sedaya upaya untuk menamatkan perlumbaan,” kata Quartararo.
Masalah yang dihadapi Quartararo membuka ruang kepada pasukan Ducati untuk meraih kemenangan 1-2 di Jerez menerusi Miller dan Bagnaia, manakala Morbidelli melengkapi podium untuk pasukan Petronas SRT.
– AGENSI