RAUB – Peniaga bazar Ramadan Majlis Daerah Raub boleh menarik nafas lega apabila mereka masih dibenarkan berniaga meskipun bazar tersebut ditutup bermula 30 April lalu hingga 13 Mei ini berikutan perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah itu.
Yang Dipertua Majlis Daerah Raub (MDR), Datuk Mohammad Shahid Ismail berkata, peniaga terbabit dibenarkan berniaga di mana-mana lokasi pilihan mereka dengan mematuhi syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Penutupan bazar Ramadan dilakukan berikutan peningkatan kes Covid-19 di daerah ini dan kami terpaksa memfokuskan kawalan dan pencegahan berasaskan SOP PKP yang berkuat kuasa mulai 30 April lalu.
“Kami amat bersimpati dengan nasib kira-kira 90 peniaga yang kehilangan pendapatan untuk menyara keluarga dengan memberi kebenaran meneruskan perniagaan di tempat lain,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Mohammad Shahid, kebenaran berniaga itu bagaimanapun tertakluk kepada syarat tertentu, antaranya peniaga boleh memilih lokasi perniagaan yang sesuai asalkan tidak mengganggu lalu lintas dan menggugat keselamatan pengguna jalan raya.
Selain itu katanya, peniaga juga perlu mematuhi arahan penjarakan yang sesuai antara gerai dan kebenaran turut diberikan kepada mereka untuk berniaga di hadapan rumah masing-masing.
“Pematuhan SOP amat penting dan peniaga diingatkan supaya menyediakan kod QR MySejahtera dan memastikan pelanggan mereka mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera atau buku.
“Peniaga juga perlu mengambil suhu setiap pelanggan disamping memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal dan etika kebersihan,” katanya.
Tambahnya MDR turut memberikan kelonggaran peniaga bazar Ramadan berkenaan yang tidak perlu memohon lesen penjaja beredar sehingga 12 Mei ini. – K! ONLINE