fbpx

Peluk sepenuh jiwa Stacy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STACY

PELANGI senja yang diterbitkan pada tahun 2012, sembilan tahun lalu menjadi lagu balada terakhir dendangan Si Ratu Tari Malaysia, Stacy.
Sejak detik tersebut, pemilik nama Ummu Shaikhah Stacy Anam lebih banyak memesrakan pancaindera peminat dengan lagu-lagu bergenre rancak sesuai dengan jolokan umu terhadap dirinya.

Bagaimanapun tahun ini, Stacy menghadirkan sesuatu yang istimewa. Akankah terulang kegemilangan Pelangi Senja dan Kisah Dongeng menerusi sebuah material balada berjudul, Peluk tersebut.

Melodi nukilan Bunga Cantik, iaitu dirinya sendiri dan lirik oleh Hang Nadim (Akim) terbitan Nova Music tersebut secara peribadinya disifatkan Stacy sebagai karya yang cukup istimewa. Sepenuh jiwanya telah ditumpahkan buat lagu berkenaan.

“Selepas sembilan tahun tanpa lagu balada, alhamdulillah tahun ini saya melancarkan single Peluk. “Kebetulan awal tahun ini pihak Nova Music menawarkan projek rakaman yang memerlukan lagu bergenre balada.

“Bagi saya, lagu Peluk sangat istimewa sebab saya cipta dan nyanyikan sendiri, selain bekerjasama dengan Akim sebagai penulis lirik lagu.”

STACY berasakan penghayatan dan rasa sewaktu mendendangkan lagu ciptaan komposer lain sangat berbeza berbanding ketika menyanyikan lagu gubahan sendiri. – Ihsan Nova Music

“Sejujurnya, apabila lama tidak menyanyikan lagu bergenre balada, memang gementar dan perasaannya sangat berbeza ketika merakamkan lagu Pelangi Senja.

“Ketika itu, saya masih bujang. Tetapi, untuk lagu ini mudah saja nak dapatkan penghayatan dan rasa. Dengar saja melodi, tanpa disedari saya menangis. Rasa itu sangat dekat,” katanya.

Isteri kepada penyanyi popular, Akim Ahmad itu menjelaskan, Peluk merupakan buah tangan buat peminat yang sudah lama mahukan dirinya menyanyikan lagu bergenre balada.

“Sesekali bertukar genre apa salahnya kan. Lagi pun projek ini memang menarik.

“Jadi kenapa tak untuk saya terima.Dalam masa sama, projek ini juga buka ruang kepada saya. Peminat pun sudah lama tunggu dan rindukan lagu balada daripada saya.

“Selain menganggap lagu Peluk ini sesuatu yang istimewa, lagu ini juga memberikan cabaran tersendiri buat saya.

“Ketika proses rakaman, saya kena faham betul-betul lirik dan melodi. Malah, lirik pun ada pertukaran pada saat akhir. Lagu ini juga antara paling lama dirakam iaitu dalam empat ke lima jam juga. Kebiasaannya dalam dua jam saja,” katanya.

PELUK memberi satu definisi berbeza buat Stacy. Jika sewaktu menyanyikan Pelangi Senja, sembilan tahun lalu dia masih bujang, lagu balada terbaharunya diterbitkan setelah dia bergelar dan isteri dan ibu.

Dalam masa sama, Stacy terharu dan teruja apabila single Peluk dilancarkan serentak dengan single Bayang nyanyian Akim.

Lebih menarik, jumlah tontonan kedua-dua video lirik rasmi lagu Peluk dan Bayang yang dimuat naik di saluran YouTube Nova Music Videos sejak seminggu lalu saling bersaing.

“Ini pertama kali saya dan Akim keluar lagu serentak. Akim pula selepas lima tahun bersama Akim & The Majistret baru muncul dengan single solo.

“Saya pula kembali menyanyikan genre balada. Apa yang saya boleh cakap pada peminat, beza dan istimewanya lagu ini kepada kerana inilah kali pertama saya menyanyikan lagu balada dengan seluruh jiwa.

“Saya menyanyi dari dalam jiwa. Itu yang membuatkan saya sampai menangis. Tak dinafikan, menyanyikan lagu ciptaan orang lain dengan lagu ciptaan sendiri memberikan rasa yang berbeza.

“Saya juga mendapat banyak tunjuk ajar daripada Akim dalam menyelami bidang penulisan lagu.

“Apabila saya mulakan rakaman dan letakkan sepenuh perasaan dalam lagu baru dapat rasa. Pendek kata, lagu ini cukup dekat dengan karakter diri sendiri,” Stacy mengakhiri kata.

Single terbaru Peluk dilancarkan pada 13 April 2021 dan boleh distrim di semua pelantar muzik digital mulai tarikh tersebut. Lirik video rasmi single tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari yang sama.

LAGU Pelangi Senja yang diterbitkan pada tahun 2012, sembilan tahun lalu menjadi lagu balada terakhir dendangan Si Ratu Tari Malaysia, Stacy.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI