fbpx

Neelofa, Haris beri keterangan selama empat jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FOTO tular tangkap layar perkongsian yang dimuat naik Neelofa dalam Instagramnya.

SEREMBAN – Selebriti popular, Noor Neelofa Mohd. Noor telah hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi membantu siasatan berhubung penularan gambar dan video mereka mengunjungi sebuah premis menjual karpet di Pisat Peniagaan Nilai 3.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd. Ismail tiba di IPD Nilai pada pukul 2.30 petang dan selesai memberi keterangan selepas lebih kurang empat jam.

“Pihak polis telah mengambil keterangan pasangan selebriti berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di premis menjual karpet di Nilai 3.

“Mereka hadir pada pukul 2.30 petang dan selesai memberi keterangan pada pukul 6.45 petang,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan Neelofa dan suaminya hadir ke IPD Nilai dengan menaiki kereta jenis Toyota Vellfire.

Menurut Mohd. Fazley, selain itu keterangan pemilik premis serta pembantu kedai karpet turut dirakamkan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah beberapa tindakan dikemaskini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Datuk Che Zakaria Othman berkata, tiada sebarang keistimewaan mahupun perbezaan diberikan kepada selebriti dan usahawan tersebut dalam siasatan kes mereka yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan merentas negeri ke Nilai di sini baru-baru ini.

Che Zakaria berkata, siasatan melibatkan pasangan selebriti itu akan berjalan seperti biasa mengikut perundangan yang ada.

“Siasatan oleh pihak polis adalah sama, tidak ada bezanya di antara selebriti, orang awam biasa atau orang kampung, tiada beza, semua darah merah, tiada bezanya.

“Siasatan juga masih belum selesai, tunggu siasatan lanjut, hasilnya akan dibawa kepada pegawai pendakwa raya negeri untuk dapatkan arahan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sumbangan Bubur Lambuk Persatuan Bekas Pegawai Kanan Polis (Respa) Negeri Sembilan Kepada ‘Frontliner’ PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI