SEJARAH tercipta buat arena sukan tanah air apabila dua atlet iaitu Goh Liu Ying dan Khairul Anuar Mohamad dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 Julai depan.
Sejak penyertaan Malaysia dalam Sukan Olimpik pada tahun 1964, ini adalah kali pertama kontinjen negara akan diketuai dua pembawa bendera pada temasya sukan berprestij dunia itu nanti.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemilihan Liu Ying adalah disebabkan pemain kelahiran Melaka itu pernah memenangi pingat perak selain tampil buat kali kedua pada Sukan Olimpik.
Sementara itu, Khairul pula dipilih berdasarkan pencapaiannya pada kejohanan antarabangsa termasuk kejohanan dunia selain turut beraksi buat kali ketiga pada Olimpik kali ini.
“Khairul Anuar adalah pemenang pingat perak Kejohanan Memanah Dunia. Selain itu, Sukan Olimpik Tokyo juga merupakan penampilan ketiganya pada temasya tersebut,” katanya ketika ditemui di Wisma MOM, Kuala Lumpur semalam.
Dalam pada itu, Liu Ying tanpa berselindung terkejut dengan pemilihannya sebagai pembawa Jalur Gemilang selain tidak tahu namanya berada dalam senarai tersebut.
Sebagai rekod, pemain badminton beregu campuran itu menjadi atlet wanita kedua dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang selepas Pandelela Rinong menggalas tugas tersebut pada edisi 2012 di London.
“Betul ke sudah rasmi? Saya langsung tidak tahu nama saya berada dalam senarai calon untuk menjadi pembawa Jalur Gemilang pada sukan Olimpik nanti. Sudah tentu saya terkejut dengan berita ini,” ujarnya.