SERIAN – Bermula dengan niat untuk membantu seorang rakan menghasilkan perhiasan tradisional kaum Bidayuh, Priscilla Michael, 39, tidak pernah menyangka kraf tangan manik itu akan menjadi sumber pendapatan utama kepada keluarganya sehingga kini.
Menceburi bidang pembuatan manik sejak 2015, pengasas P.M.Y Collections berkata, bidang ini bukan sesuatu yang mudah untuk diteroka kerana memerlukan minat dan kemahiran seni yang tinggi.
“Ketika itu, saya sendiri tidak yakin dengan kebolehan saya membuat manik, namun usaha itu tetap diteruskan kerana niat untuk membantu rakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Taee di sini baru-baru ini.
Kebanyakan produk kraf tangan manik yang diusahakan Priscilla dan suami adalah diinspirasikan daripada motif dan corak yang ada pada suku kaum etnik di Sarawak.
Antara koleksi yang dihasilkan termasuklah rantai, anting-anting perhiasan, gelang tangan, gelang kaki dan aksesori kontemporari yang diinspirasikan daripada pakaian tradisional etnik Sarawak seperti ‘tanggok moden’ oleh kaum Iban dan topi ‘reung’ daripada kaum Bidayuh Serian.
Tambah Priscilla, antara kenangan manis yang dilaluinya dalam bidang tersebut ialah apabila beberapa orang kenamaan memakai hasil kraftangannya itu.
Antaranya ialah Yang di Pertua Negeri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Mengimbau pengalaman di awal perniagaan, ibu kepada seorang anak itu pernah berdepan dengan masalah modal apabila permohonan untuk bantuan pinjaman ditolak daripada pelbagai agensi.
Hal ini sememangnya menjadi satu cabaran besar buat Priscilla untuk meneruskan perniagaannya sehinggalah menyertai Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Pada awalnya, Priscilla menerima bantuan modal sebanyak RM4,000 daripada AIM untuk mengembangkan perniagaannya dan sehingga kini, pinjamannya telah mencecah sebanyak RM55,000.
“Perniagaan saya mula berkembang sejak menerima bantuan AIM. Selain itu, AIM juga banyak membantu saya mempromosikan produk kraf tangan manik kepada para Sahabat dan juga melalui karnival yang dianjurkan.
“Dari situ saya mendapat peluang untuk memulakan kelas mengajar seni kraf tangan manik kerana ramai Sahabat yang menunjukkan minat untuk mempelajari kraftangan,” katanya.
Menurut Priscilla, ramai beranggapan bahawa perniagaan kraf tangan manik tidak mendatangkan keuntungan yang lumayan.
“Berkat usaha dan sokongan semua pihak, saya kini meraih pendapatan sebanyak RM200 hingga RM300 sehari,” katanya.