LONDON – Manchester United berdepan kemungkinan dipotong mata jika didapati melanggar peraturan Liga Perdana Inggeris dan Persatuan Bola Sepak (FA) England selepas perlawanan menentang Liverpool kelmarin terpaksa ditunda.
United dijadual menentang Liverpool di Old Trafford pada pukul 4.30 petang kelmarin (waktu tempatan), namun perlawanan terpaksa ditangguhkan selepas hampir 200 penyokong pasukan itu menceroboh masuk ke stadium.
Demonstrasi tersebut berlaku ekoran mereka menuntut pemilik United, keluarga Glazer melepaskan kepentingan mereka ke atas kelab tersebut selain ia turut dikaitkan dengan keputusan pasukan itu menyertai saingan Liga Super Eropah sebelum ini.
“Selepas perbincangan dilakukan bersama pihak polis, Liga Perdana Inggeris, pihak berkuasa tempatan di Trafford dan kelab terlibat, perlawanan ini terpaksa ditunda ekoran faktor keselamatan,” menurut kenyataan dikeluarkan United.
Sehubungan itu, Liga Perdana Inggeris telah membuka kertas siasatan mengenai insiden berkenaan untuk mengenal pasti punca dan bagaimana kumpulan penyokong berkenaan berjaya menceroboh masuk stadium.
Pelan keselamatan yang diguna pakai oleh United kini menjadi persoalan apabila mereka dikatakan hanya mengetatkan kawalan selepas satu jam protes tersebut berlangsung, selain kumpulan penyokong berkenaan juga didapati melanggar peraturan Covid-19.
Menurut peraturan yang digunakan pakai oleh FA England dalam Seksyen 8.3.4 juga, Liverpool boleh dihadiahkan tiga mata percuma ekoran kegagalan United sebagai tuan rumah untuk memastikan perlawanan tersebut berlangsung dengan lancar.
“FA England mempunyai kuasa untuk tidak menunda perlawanan sebaliknya tiga mata diberikan kepada pasukan yang didapati tidak bersalah jika kegagalan menganjurkan perlawanan kerana masalah disebabkan oleh kelab berkenaan atau penyokong mereka,” demikian menurut peraturan seperti yang tertulis.
Namun, United masih memiliki peluang untuk mencabar peraturan itu kerana perlawanan tersebut tidak dapat diadakan setelah mendapat nasihat daripada polis yang tidak mampu menjamin keselamatan dan bukan disebabkan mereka enggan beraksi. – AGENSI