Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
KAPTEN Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun menuntut rakan sepasukan untuk kekal positif biarpun pasukan gagal mendapat keputusan yang diinginkan dalam dua perlawanan terdahulu.
Haris berkata, moral dan semangat itu harus ada dalam setiap pemain untuk terus mengekalkan momentum bagi menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) pada perlawanan ke-12 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.
Biarpun skuad Harimau Selatan itu masih kekal di persada Liga Super pada ketika ini selepas mengutip 24 mata menerusi 11 perlawanan, kedudukan itu agak goyah dan perjuangan JDT masih belum tamat.
“Keputusan dua perlawanan terakhir tidak memuaskan piawaian tinggi kami sendiri namun liga ini ada 22 perlawanan dan kami akan terus berjuang hingga ke penghujung.
“Kami berada di kedudukan teratas carta pada pertengahan saingan liga, namun perjuangan kami masih belum selesai.
“Kita perlu menang dengan KDA FC malam ini untuk mengutip tiga mata penuh, sekali gus menjarakkan kedudukan dengan pasukan beitu,” katanya.
Skuad Helag Pasukan Lang Merah ketika ini menghuni tangga kedua Liga Super selepas mengharungi 11 perlawanan dengan mengumpul 23 mata mengekori rapat kedudukan pasukan JDT.
Hariss berkata, JDT adalah sebuah kelab yang selalu berusaha untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya.
“Walaupun ketika kami memenangi perlawanan, apatah lagi apabila kami kehilangan mata,” katanya.
Dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC Jumaat lalu, JDT sekadar mengutip satu mata setelah keputusan perlawanan terikat 1-1.
Hariss memberitahu, keputusan itu tidak memadamkan semangat juang pasukan bahkan akan terus pemangkin buat JDT untuk lebih bekerja keras di masa depan.
“Kami akan terus berfikiran progresif dan berusaha keras untuk mencapai lebih banyak kejayaan,” ujarnya.