fbpx

Hanya dua pegawai SPRM terlibat dengan Geng Nicky – Azam Baki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan setakat ini hanya dua pegawainya terlibat dengan kegiatan haram Geng Nicky didalangi ahli perniagaan buruan Nicky Liow Soon Hee.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, semua siasatan telah diserahkan kepada pihak polis dan pihaknya sedia memberi kerjasama jika terdapat pembabitan individu lain dalam pasukaannya.

Beliau berkata, siasatan dalaman pihaknya juga mendapati tiada penglibatan pegawai lain dalam kes Geng Nicky.

“Saya sendiri sahkan tiada pegawai lain lagi yang terlibat. Bagaimanapun saya serahkan kepada pihak polis untuk siasatan seterusnya dan setakat ini saya tidak dapat maklumat apa-apa lagi.

“Setakat yang saya tahu dua pegawai masih lagi ditahan oleh pihak polis untuk tujuan siasatan. Sekiranya ada kes atau tidak terserah kepada polis,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Program Kerjasama Strategik Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara bersama SPRM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata, setakat ini kedua-dua pegawai terlibat masih lagi bertugas kerana kes masih dalam siasatan.

“Apabila kes ini dituduh kita akan tahan mereka (dua pegawai terlibat). Kita tunggu sahaja siasatan pihak polis kerana polis akan merujuk kes ini kepada Peguam Negara untuk pertuduhan,” jelasnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Polis Johor menahan 12 pegawai penguat kuasa selepas disyaki terlibat dalam melindungi kegiatan jenayah terancang Geng Nicky.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, individu terbabit terdiri daripada 10 pegawai kanan polis dan dua pegawai SPRM.

Katanya, dua pegawai SPRM itu terdiri daripada Penolong Pesuruhjaya dan Penguasa yang bertugas di Putrajaya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI