fbpx

Geng Dobi Tiguan curi duit kedai dobi tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
A. Asmadi (tengah) menunjukkan barang yang dirampas setelah menahan tiga lelaki Geng Dobi Tiguan yang aktif curi duit kedai dobi dan pecah rumah dalam sidang akhbar di IPD Ipoh hari ini.

IPOH – Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 16 kes curi duit di kedai dobi layan diri dan pecah rumah di daerah ini dengan penahanan tiga lelaki ‘Geng Dobi Tiguan’ dalam tangkapan berasingan pada 25 April lalu.

Ketiga-tiga lelaki berusia 21, 25 dan 26 itu diberkas oleh sepasukan pegawai dan anggota dari cawangan D4, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Bercham dan Tambun.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, tangkapan ke atas suspek dibuat susulan laporan diterima pihaknya mengenai kes kecurian duit di kedai dobi layan diri di Tambun, Ampang Baru, Simpang Pulai dan Kampung Rapat.

Katanya, sebanyak sembilan laporan polis bersabit kejadian itu diterima dalam tempoh 10 hingga 24 April lalu.

“Bertindak atas risikan dan maklumat, kita berjaya menahan tiga lelaki di mana tangkapan pertama berusia 25 tahun itu adalah tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dari Selangor yang sedang menjalani hukuman di Bercham sejak 4 Mac 2020.

“Siasatan mendapati, lelaki yang mempunyai 29 rekod lampau itu bertindak merekrut ahli lain untuk turut melakukan kegiatan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Ipoh di sini hari ini.

Menurut beliau, dua lelaki yang ditahan juga masing-masing mempunyai lima dan 13 rekod lampau bersabit pelbagai kesalahan melibatkan kes jenayah dan dadah.

Katanya, hasil tangkapan ke atas suspek, pihaknya merampas peralatan yang digunakan untuk kegiatan pecah rumah seperti pemotong besi, gerudi dan spanar.

“Modus operandi kumpulan ini adalah menyewa kereta jenis Volkswagen Tiguan dengan menggunakan identiti palsu dan menyasarkan rumah inap desa, kedai dan kedai dobi layan diri sebagai lokasi kegiatan jenayah mereka.

“Siasatan ke atas mereka mengakui terlibat dalam 16 kes curi duit kedai dobi dan pecah rumah di sekitar Ipoh dan satu kes di Kuala Kangsar. Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM50,000,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis juga sedang mengesan seorang lagi suspek iaitu R. Devindren Dass, 25, bagi membantu siasatan.

“Identiti lelaki itu dimaklumkan sendiri oleh tiga suspek dan kita minta dia segera tampil ke balai-balai polis berhampiran untuk siasatan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI