fbpx

Eric Tan sekutu Jho Low diperintah bayar cukai RM67.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Eric Tan Kim Loong yang merupakan sekutu Low Taek Jho atau Jho Low, membayar cukai pendapatan RM67.9 juta kepada Kerajaan Malaysia selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman yang difailkan kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perintah penghakiman ingkar itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Farah Shuhada Ramli semasa pengurusan kes itu hari ini.

Berdasarkan dokumen, Eric Tan selaku defendan diperintah membayar faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi dan kos sebanyak RM2,000 kepada kerajaan selaku plaintif.

Sementara itu menurut perakuan ketidakhadiran yang difailkan LHDN  pada 6 April lalu, satu afidavit penyampaian writ saman dan penyataan tuntutan bertarikh 15 Januari lalu kepada Eric Tan telah diserahkan secara penyampaian ganti melalui pengiklanan di akhbar Berita Harian pada 30 Mac 2021 dan penampalan di premis beralamat di Taman Pusat Kepong di sini, pada 29 Mac 2021.

Pada 15 Januari lalu,  Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap Kim Loong atau lebih dikenali sebagai Eric Tan, 43, yang merupakan defendan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Mahkamah Tinggi di sini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa defendan tidak membayar cukai pendapatan sebanyak RM67,996,891.87 bagi tahun 2010, 2011, 2012 dan 2013.

Menurut plaintif notis-notis taksiran tersebut telah dihantar secara pos berdaftar kepada defendan pada 24 November 2020 ke alamat terakhirnya di Kepong, Kuala Lumpur.

Sehingga kini, defendan masih gagal membayar kepada plaintif amaun cukai pendapatan defendan yang masih terhutang dan genap masanya dan kena dibayar bagi tahun taksiran 2010, 2011, 2012 dan 2013, termasuk kenaikan yang dikenakan yang kesemuanya berjumlah RM67,996,891.87,” kata plaintif.

Menurut pernyataan tuntutan itu lagi, plaintif berhak untuk mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang tersebut serta kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atas defendan sebagai suatu cukai yang genap masanya dan perlu dibayar.

Justeru, plaintif menuntut jumlah tersebut selain faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi dan apa-apa relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Sebelum ini media melaporkan Eric Tan adalah sekutu rapat Jho Low dan turut terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI