fbpx

Berkata baik atau diam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NUR HUDA MUSA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BARU-baru ini media sosial kecoh dengan pendedahan seorang pelajar yang mendakwa seorang guru di sekolahnya bergurau mengenai jenayah rogol sewaktu di dalam kelas.

Hal itu mendapat perhatian banyak pihak, terutama sekali apabila pelajar itu juga telah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis dan kes kini dalam siasatan.

Sejak isu itu hangat diperkatakan, ramai pihak yang memberi sokongan dan menghargai keberanian pelajar perempuan itu kerana hal ini sebenarnya telah lama berlaku.

Lawak lucah atau ‘double meaning jokes’ bukan satu perkara asing.

Bagaimanapun, amat menye­dihkan apabila melihat ada pihak yang memandang ringan pendedahan pelajar itu dengan menganggap guru itu sekadar bergurau.

Tetapi saya percaya, kata-kata yang keluar dari mulut seseorang ada kesannya sama ada baik atau buruk.

Pakar Psikologi, Dr. Meriam Omar Din berkata, gurauan me­lampau tidak sepatutnya dipandang ringan.

“Guru ialah individu yang menjadi contoh kepada murid-murid di sekolah, maka perbuatan dan kata-katanya boleh mempengaruhi pelajar. Jadi, dari gurauan itu apa yang boleh kita nampak ialah individu itu menyampaikan satu nilai serta pandangan dia yang seolah-olah memandang ringan jenayah rogol.

“Kesan daripada percakapannya itu juga membuat murid-murid perempuan berasa malu, dipandang rendah dan diper­mainkan. Pelajar lelaki ketawa, maknanya jenaka itu menghiburkan mereka tetapi memalukan pelajar wanita. Jadi, ini bukan nilai yang perlu diterapkan di dalam kelas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Rentetan daripada perkara itu juga, terdapat segelintir netizen yang meninggalkan komen-komen negatif dengan melibatkan imej pelajar tersebut seolah-olah dirinya layak menerima gurauan melampau kerana tidak menutup aurat dengan sempurna.

Mengulas mengenai situa­si itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman pula berkata, bergurau bukanlah satu kesalahan tetapi perlu berpada-pada dan tidak menyinggung perasaan serta menyakiti hati orang lain begitu juga apabila mahu menegur seseorang.

“Bergurau dibenarkan, tetapi kena pastikan tidak menyakiti hati orang atau menyinggung perasaan. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa beriman pada Allah SWT dan hari akhirat hendaklah berkata baik atau diam (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

“Mengikut ajaran agama Islam kita juga memang perlu jaga keterampilan baru orang akan hormat. Tetapi, itu tidak boleh dijadikan tiket untuk kita mengeluarkan kata-kata yang menya­kitkan hati seseorang sekiranya dia tidak menutup aurat dengan sempurna atau sebagainya. Jika mahu menasihati, nasihat de­ngan cara yang baik,” jelasnya.

Sehubungan itu, pada pendapat saya masyarakat sepatutnya lebih peka dengan masalah yang diutarakan oleh pelajar tersebut. Jangan kerana perkara lain, isu atau masalah sebenar dilupakan.

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita sepatutnya mengambil serius isu yang berbangkit kerana ia berkait rapat dengan keselamatan anak-anak di sekolah.

Sebagai wanita juga, saya kecewa apabila jenayah rogol dijadikan jenaka sesetengah pihak, ditambah lagi apabila melihat lebih banyak komen-komen negatif berbanding positif ditinggalkan di setiap hantaran berita berkaitan perkara itu hanya ke­rana pelajar itu tidak bertudung.

Saya percaya di luar sana pasti ada lagi individu yang melalui perkara sama tetapi masih takut untuk mendedahkannya. Fikir dahulu sebelum komen, jangan disebabkan komen negatif dan melampau, mereka takut untuk tampil ke depan kerana bimbang tiada siapa mahu percaya apa yang mereka lalui.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI