PETALING JAYA – Marah dan tidak puas hati.
Itu yang dapat ditakrifkan tentang perasaan segelintir rakyat Malaysia berhubung isu rentas negeri dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan selebriti tanah air.
Sejak kelmarin, nama dua figura terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 42, dan Neelofa, 32, tidak pernah sunyi daripada menjadi topik perbualan netizen dalam semua platform media sosial.
Sehingga kini, nama Neelofa juga masih sohor kini dalam Twitter.
Hasil tinjauan dalam media sosial, rata-rata netizen berpendapat terdapat segelintir golongan selebriti di Malaysia terlalu mementingkan diri sehingga berani melanggar undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Malah, ada juga membandingkan usaha selebriti tanah air dengan negara jiran iaitu Singapura yang aktif mempromosikan kepentingan pengambilan vaksin Covid-19.
Perkara tersebut tercetus selepas tular sebuah video selebriti popular Singapura, Gurmit Singh yang terkenal menerusi sitkom Phua Chu Kang mempromosikan isu vaksin dalam kalangan rakyat negara tersebut.
“Selebriti Singapura hebahkan tentang vaksin manakala artis Malaysia pula promosi cara hendak melanggar SOP, berulang-kali,” tulis seorang pengguna Twitter, @wanbasmu.
“Hendak harap golongan selebriti (Malaysia) promosi vaksin? Mereka sibuk langgar SOP seperti pertandingan siapa paling kayangan dan kebal,” tulis seorang lagi netizen, @elwaiemaren.
Kosmo! semalam turut melaporkan Siti telah membuat permohonan maaf tentang majlis Tahnik anak lelakinya yang didakwa melanggar SOP.
Sehingga kini, pihak berkuasa juga telah mengumumkan bakal melakukan siasatan terhadap dua figura tersebut.
Untuk rekod, Neelofa dan beberapa ahli keluarganya lain telah dikompaun pihak berkuasa atas kesalahan pelanggaran SOP pada majlis perkahwinannya serta salah guna kebenaran rentas negeri ke Pulau Langkawi pada Mac lalu. – K! ONLINE