PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memanggil segera bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador susulan pendedahannya mengenai ahli politik yang terbabit rasuah.
Perkara itu dimaklumkan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Datuk Ibrahim Ali pada sidang akhbar selepas mengemukakan aduan kepada SPRM, di sini hari ini.
Ibrahim berkata, pendedahan dibuat oleh Abdul Hamid adalah perkara yang serius dan perlu diambil perhatian sewajarnya oleh SPRM.
Beliau berkata, SPRM perlu menyiasat segera dakwaan itu malah, Abdul Hamid juga dikehendaki mendedahkan satu persatu nama ahli politik yang dimaksudkan itu.
“Isu (pendedahan) ini betul-betul serius kerana selama ini ia (dakwaan ahli politik terbabit rasuah) didedahkan orang-orang biasa namun, kali ini ia dibongkarkan sendiri oleh Ketua Polis Negara,” katanya ditemui wartawan selepas menyerahkan aduan kepada SPRM.
Aduan berkenaan diserahkan sendiri Ibrahim kepada Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Noor Azlan Razali.
Katanya, SPRM menyambut baik aduan yang beliau kemukakan itu dan memberi jaminan untuk menyiasat perkara itu.
Ibrahim berkata, beliau juga mahu SPRM menyiasat dakwaan kononnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mencampuri urusan pelantikan pegawai-pegawai tinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, urusan pelantikan tersebut adalah di bawah kuasa dan tanggungjawab Ketua Polis Negara walaupun Menteri Dalam Negeri adalah Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).
“Dari struktur organisasi, Abdul Hamid adalah Ketua Pegawai Eksekutif kepada agensi kepolisan yang mengurus PDRM dan operasinya malah, lebih mengetahui secara mendalam siapa yang patut dilantik atau tidak dilantik,” katanya.
Katanya, siasatan ke atas pendedahan dibuat Abdul Hamid kelak akan membantu pelaksanaan undang-undang dan peraturan-peraturan yang wajib diikuti oleh semua kakitangan kerajaan dan ahli politik yang berjawatan dalam kerajaan.
Jelasnya lagi, keyakinan rakyat terhadap PDRM termasuk SPRM dan agensi penguat kuasa lain perlu dikembalikan semula. – K! ONLINE