BACHOK – Jabatan Perangkaan Malaysia telah membanci seramai 17.7 juta rakyat Malaysia bermula awal tahun ini hingga 2 Mei lalu.
Timbalan Pesuruhjaya Banci Malaysia, Nazaria Baharudin berkata, jumlah itu menunjukkan kira-kira 54 peratus daripada 32.7 juta seluruh rakyat negara ini sudah dibanci dalam tempoh itu.
Beliau berkata, meskipun negara sedang dilanda penularan wabak Covid-19, pihaknya akan terus menjalankan tanggungjawab untuk menyelesaikan kerja-kerja membanci seluruh rakyat di negara ini.
“Sehubungan dengan itu, kita akan membuat penambahan pengambilan seramai 2,000 pembanci di seluruh negara yang menjadikan jumlah keseluruhan seramai 9,000.
“Penambahan itu merupakan salah satu cara terbaik untuk Jabatan Perangkaan Malaysia menyelesaikan kerja-kerja banci meskipun dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Program Turun Padang Timbalan Ketua Perangkaan Malaysia Bersama Media Bagi Publisiti Banci 2020 di Kampung Balai di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, menurut Nazaria , beliau berharap orang ramai agar tidak takut apabila didatangi pembanci kerana mereka sudah dilatih untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum keluar bertugas.
Dalam perkembangan lain, ujarnya, seramai 1.4 juta rakyat di Kelantan telah dibanci dan proses pembancian itu akan lengkap sepenuhnya tidak lama lagi.
“Kelantan merupakan antara negeri yang terawal yang akan selesai operasi Banci Malaysia 2020.
“Berdasarkan rekod, sebanyak 419,000 buah rumah di Lojing di Gua Musang,Jeli, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Puteh dan Machang telah selesai dibanci,” ujarnya. – K! ONLINE