fbpx

12 individu hadiri majlis berbuka puasa diambil keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa keping gambar majlis berkenaan yang tular di laman sosial didakwa tidak mematuhi SOP.

KUALA LUMPUR – Seramai 12 individu telah dipanggil bagi dirakamkan percakapan berhubung dakwaan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf di Hotel Westin di sini, 29 April lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, mereka yang dipanggil terdiri daripada pihak penganjur, artis dan juga selebriti yang menghadiri majlis tersebut.

“Seramai tujuh daripada mereka telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi semalam manakala lima lagi telah hadir hari ini bagi memberi keterangan berhubung kejadian.

“Setakat ini hanya 12 individu yang telah dikenal pasti untuk membantu siasatan namun mungkin lebih ramai akan dipanggil selepas ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, kertas siasatan berhubung kes tersebut sedang dilengkapkan dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

“Fokus siasatan adalah kepada pihak penganjur dan individu yang didapati gambarnya tular dan kelihatan tidak mematuhi SOP penjarakan fizikal pada majlis berkenaan namun kita (polis) juga akan melihat semua sekali kesalahan yang mungkin wujud seperti kesalahan rentas daerah atau negeri tanpa sebab yang dibenarkan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) 2021,” tegas beliau.

Terdahulu, Kosmo! Online pada 2 Mei lalu melaporkan bahawa kertas siasatan telah dibuka oleh pihak polis susulan penularan beberapa keping gambar majlis berkenaan yang menerima kritikan dan dipertikaikan oleh netizen.

Dalam gambar yang tular di media sosial menunjukkan antara artis yang hadir pada majlis itu adalah penyanyi rap Caprice, Ashraf Muslim, Heliza Helmi, Iman Troye, Mawar Rashid dan PU Hafiz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI