JAKARTA – Seorang wanita yang menuduh jirannya merupakan ‘babi ngepet’ iaitu manusia yang mengamalkan sihir dan menukar diri menjadi babi hutan untuk mencuri wang dihalau keluar daripada kampungnya di Depok, Jawa Barat, lapor agensi berita Coconuts.co kelmarin.
Mengikut dongeng Indonesia, istilah ‘babi ngepet’ digunakan kepada individu yang menggunakan ilmu hitam dan menukar diri menjadi babi hutan pada waktu malam dan akan menyelinap masuk ke dalam rumah jiran lalu menggosok badan pada dinding bagi menarik keluar semua kekayaan berupa wang dan barang berharga.
Wanita yang hanya dikenali sebagai Wati menuduh jirannya mengamalkan sihir selepas hairan melihat kehidupan mereka bertukar mewah walaupun jarang meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja.
Dalam satu rakaman video tular yang dimuat naik di akaun Instagram @lambe_turah, Wati kedengaran mengadu tentang jirannya itu kepada polis.
“Saya sudah lama memerhatikan pasangan ini. Mereka sudah berkahwin, tidak bekerja tetapi mempunyai banyak wang.
“Saya pernah berjalan di hadapan rumah mereka dan terlihat mereka membuang sesuatu (yang membolehkan ‘babi ngepet’ itu muncul) di situ,” kata Wati.
Kampung itu menjadi bualan orang ramai dan beberapa orang lelaki yang ternampak kelibat babi hutan berdekatan kawasan sekitar telah menangkap haiwan itu.
Namun, selepas polis mendapati haiwan itu adalah babi hutan biasa, Wati membuat permohonan maaf terbuka namun dihukum diusir keluar dari kampung kerana menimbulkan kekecohan.
“Saya bukan melarikan diri tetapi terpaksa meninggalkan kampung kerana ia adalah kehendak semua penduduk di sini,” ujar Wati. -Agensi