SEPANG – Tiga rumah teres setingkat di Taman Dengkil Jaya di sini terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 7.58 pagi semalam.
Dalam itu, salah sebuah rumah musnah 50 peratus akibat kebakaran tersebut sebelum api merebak ke dua buah rumah yang terletak bersebelahan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Shafizol Mohamad berkata, seramai 16 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya dan KLIA membabitkan tiga jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kejadian berpunca daripada sebuah rumah teres setingkat melibatkan bahagian di tingkat satu yang berkeluasan kira-kira 41.8 meter persegi.
“Ketika bomba sampai, api marak dengan kebakaran dianggarkan kira-kira 50 peratus manakala dua rumah bersebelahan terbakar kira-kira 15 peratus.
“Bagaimanapun, atas kecekapan pegawai dan anggota bomba dalam melakukan kerja-kerja pemadaman, api yang marak dapat dikawal dalam masa lima minit dan dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 9.13 pagi,” katanya.
Katanya, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – K! ONLINE