fbpx

Tiga nelayan terselamat bot karam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga nelayan terselamat selepas bot dinaiki mereka karam di kedudukan 3.5 batu nautika barat Pantai Sanglang hari ini.

ALOR SETAR – Tiga nelayan cemas apabila bot dinaiki mereka karam akibat terlanggar objek keras dipercayai kayu di kedudukan 3.5 batu nautika barat Pantai Sanglang dekat sini hari ini.

Bot nelayan kelas A dinaiki Abdullah Yaakob, 46, bersama dua kru, Muhamad Afifi Roslan, 28, dan Muhammad Qamarul Ariffin Zulkifli, 25, mengalami kebocoran sebelum mula tenggelam pada pukul 4 pagi.

Kesemua mangsa berusaha menyelamatkan diri dengan salah seorang daripada mereka memakai jaket keselamatan manakala dua lagi terpaksa berpaut pada tong minyak.

Mereka kemudian diselamatkan nelayan lain dan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira pukul 8 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerima aduan mengenai kejadian daripada seorang nelayan kira-kira pukul 7.18 pagi ini.

“Aduan dibuat setelah usaha mencari bot berkenaan oleh beberapa bot nelayan tempatan gagal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, sebuah bot Kilat 29 kemudian diatur gerak ke lokasi kejadian dan mendapati ketiga-tiga mangsa telah ditemui dan diselamatkan oleh bot nelayan tempatan.

“Semua mangsa seterusnya dipindahkan ke atas bot Kilat 29 untuk dibawa balik ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI