fbpx

Tiga lelaki Rohingya pecah masuk rumah diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa barangan yang disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah dirampas polis ketika memberkas tiga suspek itu, semalam.

PETALING JAYA – Geng pecah masuk rumah yang didalangi etnik Rohingya tumpas dengan penahanan tiga individu di Seksyen 14, di sini semalam.

Tiga lelaki berusia 27 hingga 33 tahun itu diberkas selepas polis menerima laporan berhubung kes pecah rumah pada 25 April lalu, sekitar pukul 7.30 pagi di Seksyen 14, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian tersebut, seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun menyedari rumahnya dipecah masuk sebaik mendapati semua pintu bilik terbuka dan barangan berselerak.

“Pintu jeriji tingkap bilik belakang rumah berkenaan turut diumpil dan pintu kaca tingkap juga dipecahkan.

“Berikutan itu, pasukan polis dari Balai Polis Seapark telah melaksanakan operasi khas jenayah pecah rumah bermula 30 April lalu dan ketika rondaan pukul 3.20 pagi, sebuah kereta Volkswagen dilihat dalam keadaan mencurigakan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, ketika pemeriksaan dijalankan, suspek bertindak agresif dan menyerang polis, namun mereka berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan terbabit, pelbagai barangan yang disyaki digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah pecah rumah ditemui.

“Semakan turut mendapati suspek pertama memiliki 12 rekod jenayah lampau manakala suspek kedua mempunyai dua rekod dan suspek ketiga pula mempunyai satu rekod. Kesemua rekod berkenaan berkaitan kes jenayah dan dadah,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati suspek terbabit dalam tiga kes pecah rumah yang dilaporkan tahun ini di sekitar perumahan Seksyen 14, di sini.

“Melalui penahanan kesemua suspek ini, kita percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan jenayah jalanan yang berlaku dalam daerah Petaling Jaya,” ujarnya.

Katanya, suspek direman selama seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI