fbpx

Shasha di Dubai, anak di KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SASHA SAIDIN

KEHIDUPAN penyanyi Sasha Saidin, 44, berubah 360 darjah sejak bergelar isteri buat kali ketiga pada 20 Januari tahun lalu.

Masakan tidak, selepas bergelar isteri kepada Sirhan Wahab, 43, Sasha berhijrah ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mengikuti suaminya yang bekerja dalam sektor kewangan di sana.

Meskipun terpaksa berjauhan dengan keluarga, terutama anak tunggalnya, Adam Aryasenna Notosoemarsono, 12, Sasha yang juga anggota kumpulan Elite itu reda menjalani kehidupan baharunya.

Ramadan kali ini pula menjadi sambutan keduanya di Dubai. Menariknya kata anggota kumpulan Elite itu, berbanding di Malaysia, suasana Ramadan di sana lebih meriah berbanding sambutan Aidilfitri.

KOSMO!: Bagaimanakah sambutan Ramadan buat Sasha tahun ini?
Sasha: Alhamdulillah, tahun ini me­rupakan Ramadan kedua saya di Dubai. Memanglah rindu dengan suasana Ramadan di Malaysia tambahan pula terpaksa berjauhan dengan keluarga. Namun, berdasarkan pemerhatian saya, sambutan Ramadan di Dubai sangat meriah berbanding Aidilfitri.

Memang satu pengalaman baharu, cuma pada tahun lalu semua orang berada dalam situasi berjaga-jaga ekoran perintah berkurung akibat pandemik Covid-19. Tahun ini suasananya berbeza kerana rakyat UAE juga sudah menerima suntikan vaksin.

SEJAK berkahwin dengan Sirhan Wahab pada tahun 2020, Sasha kini menetap di Dubai, manakala anak tunggalnya tinggal di Malaysia.

Apakah yang paling dirindui sepanjang sambutan Ramadan di sana?
Keluarga dan sudah tentu makanan Malaysia terutamanya sambal. Saya bersyukur di Dubai terdapat dua buah restoran Malaysia dan banyak restoran makanan Indonesia serta India.

Jadi, jika teringin makan makanan Malaysia atau roti canai, mudah untuk dibeli. Cuma suasana bazar Ramadan memang tiada.

Boleh kongsikan bagaimana kehidupan Sasha selepas setahun me­netap di Dubai?
Kehidupan saya cukup ringkas. Saya hanya menjadi suri rumah menemani suami yang masih bekerja dari rumah. Enam bulan pertama saya tidak ke mana-mana dan memang tidak mengenali sesiapa. Ketika itu, Dubai dikenakan pe­rintah berkurung di rumah.

Kini selepas setahun, saya mula berkenalan dengan ramai rakyat Malaysia yang tinggal di Dubai. Sekarang saya sudah dapat membiasakan diri dan berasa lebih yakin tinggal di sana.

Bagaimanakah perasaan Sasha apabila terpaksa berjauhan dengan anak selama hampir setahun?
Sebelum berkahwin semula saya menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal selama lapan tahun. Sepanjang tempoh tersebut, kehidupan saya hanyalah bersama ibu dan anak. Saya dan ibu juga tinggal berdekatan, rumah saya di tingkat bawah, manakala ibu di tingkat atas.

Jika sibuk bekerja, anak memang akan berada bawah jagaan ibu saya. Jadi, setahun tidak dapat bertemu memang saya rindukan anak. Apapun saya percaya Allah sebaik-baik perancang kerana sepatutnya Arya akan dibawa sekali ke Dubai, siapa menyangka seminggu selepas kami tiba di Dubai sempadan negara di tutup.

Perancangan tersebut tertangguh, tetapi pandemik membuka mata saya, sepanjang setahun Arya yang menemani ibu. Dia menjadi seorang yang sangat matang walaupun baru berusia 12 tahun.

SASHA kini bersama suaminya, Sirhan di Dubai.

Jadi, adakah Sasha akan membawa anak ke Dubai?
Insya-Allah. Jika tiada aral, sekitar Disember ini Arya bersama ibu akan terbang ke Dubai. Saya telah memilih sekolah di sini dan dia harus mengambil peperiksaan kemasukan terlebih dahulu. Tahun ini biarlah dia mengambil pepe­riksaan penilain di Malaysia bersama rakan-rakannya.

Saya bersyukur meskipun tahun lalu hampir setahun Arya tidak ke sekolah, tetapi ibu menjadi gurunya di rumah dan dia berjaya mengekalkan momentum pelajarannya.

Bagaimanakah reaksi anak apabila diminta untuk ke Dubai?
Ketika mula-mula berpindah ke sini saya sendiri berasa takut apatah lagi Arya. Saya cuba yakinkan dia dengan menghantar gambar dan video suasana di sini. Namun, keputusan terletak pada Arya untuk tinggal di Dubai atau tidak.

Saya yakin dia seorang anak yang matang dan saya tidak akan memaksanya melakukan sesuatu perkara yang tidak disukai. Sebelum ini ketika berjauhan selama setahun, dia memahami situasi dengan baik kerana sedar nenek lebih memerlukannya berbanding saya.

Apakah perancangan karier Sasha selepas ini?
Saya masih bersama Elite dan kami baru sahaja muncul dengan single berjudul Alhamdulillah.

Biarpun berjauhan, dengan teknologi yang ada saya masih boleh memberikan komitmen menerusi platform digital.
Selain itu, saya juga sedang mengintai peluang perniagaan dan masih mencari produk sesuai untuk dibawa ke Malaysia atau produk Malaysia dibawa ke Dubai.

Adakah Sasha ingin menambah bilangan ahli keluarga?
Soal cahaya mata saya serahkan kepada Allah, buat masa ini kami masih belum dikurniakan rezeki.

Bagi kami, memiliki anak bukanlah keutamaan kerana masing-masing telah memiliki anak daripada perkahwinan terdahulu. Suami memiliki dua orang anak dan saya seorang. Kami juga sedar umur pun bukan lagi muda, tetapi jika diberi rezeki kami bersyukur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI