fbpx

Sentuhan cemerlang Mat Yo julang Sarawak United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORSHAHRUL (kanan) diasak pemain JDT II, Muhammad Adib Zainudin pada aksi Liga Premier di Stadium Hang Jebat, Melaka kelmarin. – RASUL AZLI SAMAD

PENYERANG berpengalaman kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha membuktikan ketajamannya buat Sarawak United apabila meledak gol kemenangan 1-0 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) II pada aksi Liga Premier malam kelmarin.

Norshahrul yang lebih dikenali sebagai Mat Yo, memainkan peranannya dengan baik dengan menggambil alih tanggungjawab penyerang prolifik The Golden Hornbill, Uche Agba pada aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka itu.

Ia selepas Agba, 34, yang sudah menjaringkan lapan gol daripada enam aksi musim ini dikatakan terpaksa pulang ke negara kelahirannya, Nigeria kerana kematian ibu.

Ketua jurulatih Sarawak, E. Elavarasan menjelaskan, semua pemainnya sedar mengenai perkara itu dan mereka telah bekerja keras sepanjang perlawanan untuk mencatat tiga mata berharga ke atas JDT II.

“Kami perlu terima hakikat lepaskan dia (Agba) pulang ke negaranya. Apabila kurang seorang pemain sepertinya, kami dapat lihat kombinasi antara pemain tidak begitu lancar.

“Pemain sedar dan berusaha sedaya upaya malam ini (malam kelmarin) walaupun JDT II lebih banyak menguasai bola pada awal permainan. Namun, permainan kami lebih teratur pada babak kedua.

“Mat Yo sebagai seorang penyerang sangat berbahaya kalau diberikan ruang. Saya harap semua pemain konsisten kalau mahu pasukan mengorak langkah lebih jauh,” katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.

Gol pada minit ke-85 itu merupakan jaringan kedua peribadi Mat Yo bersama Sarawak musim ini selepas kali terakhir melakukannya ketika menewaskan Perak FC II 3-0 pada 10 Mac lalu.

Skuad Kenyalang Emas itu berpeluang melakar kemenangan ketujuh jika berjaya menewaskan Kelantan United pada aksi ke-10 Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Jumaat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI