PETALING JAYA – Polis membuka kertas siasatan berhubung majlis tahnik yang dianjurkan seorang penyanyi tersohor tanah air yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan dijalankan selepas polis menerima satu laporan berkenaan majlis itu pada hari ini.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat berkenaan majlis itu melalui laporan yang disiarkan sebuah portal berita berhubung rasa tidak puas hati netizen berkaitan majlis tahnik yang dianjurkan selebriti itu di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Ampang.
“Terdapat juga beberapa keping gambar di dalam laporan berita terbabit menunjukkan kehadiran beberapa orang kenamaan (VVIP) dan penceramah agama terkenal di majlis itu.
“Laporan itu juga mendakwa VVIP dan penceramah jemputan hadir ke majlis tersebut tanpa kelulusan daripada pihak polis untuk merentas negeri atas alasan mereka tinggal di luar Selangor,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, laporan berkenaan juga mendakwa majlis itu dijalankan tanpa mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Ekoran itu, kita sudah menjalankan siasatan mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Penganjur majlis juga sudah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk memberi keterangan,” ujarnya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa sensitif dan mengutamakan SOP dalam sebarang aktiviti yang dijalankan. – K! ONLINE