SEREMBAN – Pihak polis telah menjalankan siasatan berhubung penularan gambar serta video selebriti popular, Noor Neelofa Mohd. Noor yang dipercayai berada di sebuah premis menjual karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, siasatan dijalankan memandangkan isu gambar dan video melibatkan Neelofa dan suaminya pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd. Ismail atau PU Riz itu telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergetakan Bersyarat (PKPB).
“Pihak yang terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk memberi keterangan dalam masa terdekat dan kertas siasatan akan dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya setelah selesai siasatan.
“Siasatan dijalankan di bawah undang-undang tersebut iaitu Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342, Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan Kawalan Pergerakan) dan Seksen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Neelofa sekali lagi menjadi bualan hangat netizen selepas didakwa merentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan untuk membeli karpet dan netizen mempersoalkan bagaimana dia boleh nerentas negeri semata-mata untuk membeli barang perhiasan rumah.
Perkara tersebut mula menjadi bualan selepas Neelofa memuat naik sekeping foto dan video dalam InstaStorynya yang memaparkan dia dan suami berada di sebuah kedai karpet.
Dalam video yang dikongsi juga, dia dilihat merakam seorang pekerja dan turut mempromosikan kedai tersebut yang terletak di Nilai 3. – K! ONLINE