Menghubungi seseorang seperti ibu atau bapa di kampung tidak sama jika si anak pulang menemui mereka sendiri. Mood bersemuka itu lain.
Sama juga dengan menulis surat kepada kekasih berbanding menaip mesej di WhatsApp. Rasa klasik itu hanya yang mengalami sahaja tahu.
Begitu halnya menyambut raya di perantauan bersama sanak saudara di kampung. Mood raya itu sukar digambarkan lebih-lebih lagi dapat menikmati juadah wajib di pagi raya seperti lemang, ketupat dan rendang.
Hari raya buat kanak-kanak seronok kerana dapat mengumpul duit raya. Biasanya, misi dijalankan ketika orang sudah pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Misi kutip duit raya kadang-kadang mencecah sehingga tujuh hari. Mana-mana rumah yang belum pernah dijejaki akan dikunjungi atas semangat hari raya.
Tuan rumah pun tidak boleh menolak. Paling tidak diberi air gas, biskut sebelum menghulur sampul berisi duit raya.
“Kami tidak boleh lama sebab banyak lagi rumah nak pergi. Target pun belum sampai lagi ni.” Dialog ini kerap kita dengar daripada mulut kanak-kanak yang bertandang. Biarlah mereka, jangan dimarahi kerana ini hari raya.
Boleh sahaja duit raya diberi secara online tetapi seperti yang dikatakan awal tadi, rasanya tidak sama. Feel pegang sampul duit raya kena ada. Soal mahu buka depan tuan rumah atau sebaik keluar kediaman jatuh nombor dua. Yang penting dapat.
Kini, mood raya sudah hilang. Balik kampung pun tidak dibenarkan. Alangkah bosannya 2 tahun sambut Aidilfitri tanpa merasai kemeriahan di kampung.
Banyak-banyak situasi di atas, rasanya ahli keluarga kru kapal selam KRI Nanggala-402 milik Indonesia paling sedih menyambut lebaran tahun ini.
Menerima berita suami, abang, adik atau pak cik mereka terkorban dalam nahas di perairan pulau peranginan Bali ketika sedang berpuasa sudah cukup membuat hati remuk.
Namun, waris 53 mangsa perlu menerima hakikat bahawa setiap anggota keselamatan baik di darat, laut dan udara sentiasa berdepan risiko terkorban pada bila-bila masa.
Raya tahun ini mungkin juga yang paling diingati oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador apabila kontraknya sebagai orang nombor satu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tamat hari ini.
Ketika umat Islam dijangka menyambut Aidilfitri dalam tempoh sembilan hari lagi, beliau dengan ikhlas melepaskan jawatan tersebut dengan katanya:
“Campur tangan politik mesti dihindarkan, jika tidak maka hancurlah kredibiliti pasukan keramat ini. Parti politik datang dan pergi tetapi PDRM akan kekal untuk menjaga keamanan orang ramai.”
Tidak lupa syabas diucapkan kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani atas lantikan KPN baharu.