PETALING JAYA – Masa depan kira-kira 800 mahasiswa antarabangsa Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing kini kabur apabila akreditasi beberapa kursus di institusi tersebut ditarik semula oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Seorang wakil pelajar antarabangsa institut tersebut yang mahu dikenali sebagai Mohammed berkata, mereka kini takut untuk memasuki dunia pekerjaan ekoran masalah tersebut.
“Kami akan memulakan karier profesional dengan ketidakpastian dan ketakutan selepas banyak program Sarjana Muda, Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan doktor falsafah telah dibatalkan.
“Ini kerana Limkokwing tidak mampu untuk mengekalkan syarat dan piawaian tertentu yang ditetapkan oleh pihak MQA,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP hari ini.
Mohammed memberitahu, dia memulakan pengajiannya pada tahun 2018 sebelum kursus tersebut dibatalkan oleh MQA pada tahun 2019 dan dimaklumkan oleh pihak universiti bahawa dia boleh menyelesaikan kursus tetapi kelayakannya itu mungkin tidak diakui.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, program yang diikuti pelajar itu telah diberi akreditasi penuh tetapi dibatalkan selepas menunjukkan kualiti kursus yang tidak memuaskan.
“Pihak universiti perlu segera ambil tindakan dan memohon untuk mendapatkan akreditasi semula.
“Sejak dibatalkan, tiada tindakan diambil oleh pihak universiti, atau jika ada pun mungkin ia tidak mencukupi untuk meyakinkan pihak MQA,” katanya.
Sementara itu, Ketua Majlis Pemerintahan Universiti Limkokwing, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, pihak universiti ambil maklum mengenai perkara tersebut dan sedang berusaha mengambil tindakan sepatutnya demi kepentingan pelajar.
“Ini proses biasa, kita ada 98 program kemudian semua program itu akan diaudit. Apabila dibatalkan akreditasi, itu tidak bermakna batal selamanya. Pihak universiti diberi tempoh 30 hari untuk memperbetulkan dan hantar semula dokumen.
“Pihak universiti tahu dan sedang teliti apa kekurangan yang dimaklumkan oleh MQA dan kita akan tambah baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Raduan menasihatkan agar pelajar tidak terlalu bimbang kerana isu itu sedang dalam perhatian pihaknya dan berharap isu itu tidak dipolitikkan.
“Perkara ini semua dunia akademik. Harap tidak dipolitikkan sehingga boleh menambah garam pada luka.
“Jika ada pihak yang ikhlas hendak membantu, cari jalan. Pelajar tidak perlu risau, kita telah hantar semula dokumen untuk dapatkan kembali kelayakan MQA itu,” ujarnya. – K! ONLINE