SHAH ALAM – Tindakan tatatertib boleh dikenakan kepada mana-mana anggota dan pegawai bomba yang dikenakan kompaun kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, setakat ini dua individu termasuk pegawai kanan telah dikenakan tindakan itu susulan melanggar syarat PKP sepanjang tempoh pelaksanaan sejak Mac tahun lalu.
Beliau menegaskan, anggota dan pegawai bomba juga seperti orang biasa yang perlu mengisi borang dengan lengkap disertakan dokumen.
“Kes pertama berlaku di Semenanjung apabila pegawai kanan terbabit ditahan di sekatan jalan raya kerana menggunakan alasan peribadi untuk rentas negeri. Manakala kes kedua di Sabah atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan melebihi masa ditetapkan.
“Tujuan tindakan diambil adalah untuk memutuskan rantaian Covid-19 dan jika kita tidak ikut, masalah pandemik tidak akan terhenti sebab tiada kepekaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 di Ibu Pejabat Bomba Negeri Selangor.
Seramai 131 anggota dan pegawai daripada 1,700 JBPM Selangor menerima anugerah tersebut dalam majlis tersebut.
Dalam perkembangan berasingan, Mohammad Hamdan memberitahu seramai 8,296 anggota dan pegawai telah divaksin sepenuhnya sehingga hari ini.
Kata beliau, tiada anggota yang menunjukkan kesan kritikal disebabkan menerima vaksin kecuali berasa demam, otot lemah dan pening.
“Selain itu, 21,038 premis termasuk sekolah, balai bomba, polis, pusat perniagaan, tempat ibadat, kawasan perumahan, pasar awam dan pasar raya telah disanitasi,” ujarnya. – K!ONLINE