fbpx

Padah rentas negeri guna bas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Tindakan tiga individu termasuk dua warga asing cuba merentas negeri dengan menaiki bas membawa padah apabila mereka ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungai Petani Selatan di sini hari ini.

Mereka terdiri daripada seorang wanita tempatan berusia 35 tahun serta lelaki warga Myanmar berusia 67 tahun dan lelaki Indonesia berusia 33 tahun.

Kesemua mereka cuba merentas negeri dari Pulau Pinang ke daerah Kuala Muda yang turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, wanita yang bekerja sebagai operator pengeluaran dan lelaki Myanmar daripada etnik Rohingya ditahan ketika menaiki bas yang sama kira-kira pukul 10.17 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang surat kebenaran merentas negeri.

“Selain itu, lelaki warga Myanmar tersebut juga didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah,” katanya
dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya menahan seorang lagi iaitu warga Indonesia di lokasi sama kira-kira pukul 1.45 petang ini.

“Lelaki Indonesia itu juga didapati merentas negeri dari Pulau Pinang ke Sungai Petani tanpa permit rentas negeri selain tiada dokumen perjalanan diri yang sah,” ujarnya.

Tambahnya, wanita terbabit dikenakan kompaun di bawah Perkara 4(1) Peraturan-Peraturan Dan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB)(Kawalan Pergerakan) 2021.

“Dua lelaki warga asing turut direman 14 hari kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c)Akta Imigresen 1959 /1963 iaitu gagal mengemukakan dokumen diri yang sah,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI