SHAH ALAM – Lebih 16,000 orang pelajar di seluruh kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan terlibat dalam Ops Pulang Aidilfitri nanti.
Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Shah Alam dalam kenyataannya memaklumkan UiTM telah menyediakan lebih daripada 200 unit kenderaan pelbagai jenis untuk melancarkan penghantaran pelajar di seluruh negara.
Katanya, ia secara keseluruhan melibatkan 30 buah kampus dan lebih 700 orang kakitangan.
“Agihan bilangan kenderaan yang diperlukan di setiap kampus mengikut zon akan ditentukan dalam masa terdekat setelah kesemua pelajar melengkapkan borang soal selidik yang telah diedarkan.
“Penghantaran pulang pelajar ini akan bermula pada 7 Mei ini dan penghantaran terakhir adalah pada 12 Mei depan,” katanya.
Mengulas lanjut, UiTM turut akan menggerakkan semua jentera pengurusannya daripada pelbagai jabatan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar serta Jawatankuasa Perwakilan Kolej bagi memastikan operasi ini berjalan lancar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
“Ini bagi memastikan semua pelajar sampai ke destinasi dengan selamat.
“Bagi pelajar yang memilih untuk terus tinggal di kampus, pihak UiTM akan terus menyantuni mereka sebaik mungkin agar suasana Aidilfitri akan turut diraikan bersama-sama,” jelasnya. -K!ONLINE