PETALING JAYA – Meskipun dilanda pelbagai kontroversi, selebriti berniqab terkenal, Neelofa terus gah dalam media sosial sebagai individu paling ramai pengikut di Instagram.
Sehingga semalam, pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd. Noor, 32, itu memiliki sebanyak 8.6 juta pengikut Instagram.
Jumlah itu meletakkan dirinya sebagai selebriti paling berpengaruh dalam Instagram Malaysia sekali gus mengenepikan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang selesa dengan 8.2 juta pengikut.
Catatan tersebut juga membuktikan segala kecaman-kecaman netizen yang kononnya ingin memboikot isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail itu sebelum ini sekadar sia-sia.
Minggu lalu, pasangan selebriti itu serta beberapa ahli keluarga lain dikenakan kompaun keseluruhan RM60,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) ketika melangsungkan majlis perkahwinan serta urusan rentas negeri.
Selain itu, isu lawatan kerja Neelofa bersama PU Riz di Langkawi selepas perkahwinan turut mencetuskan kontroversi apabila netizen mendakwa mereka turut mengambil kesempatan berbulan madu di pusat peranginan terkenal negara.
Segala kekecohan yang berlaku rupa-rupanya hanya ‘memanaskan’ lagi pengaruh dan kuasa media sosial Neelofa serta keluarganya. Maka, tidak hairanlah jika sebelum ini mereka pernah digelar Kardashian Kelantan.
Berdasarkan hasil tinjauan, selain Neelofa dan Siti Nurhaliza, selebriti versatil, Zizan Razak juga antara artis tanah air terkenal dengan jumlah pengikut yang ramai iaitu 7.8 juta, diikuti Nora Danish (7.3 juta) dan Mira Filzah (7.2 juta).
Selain didominasi golongan selebriti, penceramah bebas Ebit Lew turut unggul dalam media sosial dengan 5 juta pengikut, menjadi satu-satunya individu bukan artis tanah air yang meraih pengikut melebihi 5 juta.
Kosmo! pada 24 Ogos 2020 melaporkan, Siti Nurhaliza melebarkan pengaruh di laman media sosial Instagram apabila mempunyai jumlah pengikut melebihi 7.8 juta orang.
Ia sekali gus menjadikan pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu itu menjadi artis Malaysia yang mempunyai jumlah pengikut paling ramai ketika itu meninggalkan beberapa selebriti tanah air lain.
Berada di tempat kedua ketika itu juga ialah Neelofa dengan jumlah pengikut sebanyak 7.6 juta orang, kurang 200,000 berbanding Tok Ti.
Zizan pula berada di tempat ketiga sebanyak 7.5 juta pengikut Instagram, diikuti Nora Danish (7.1 juta) dan Mira Filzah (6.6 juta).