KUANTAN – Selepas berjaya membuka rangkaian pasar raya MG Coop Mart kedua di Indera Mahkota semalam, Koperasi Makmur Malaysia Berhad (Ko-Makmur) sudah mempunyai perancangan untuk memperkenalkan konsep kedai emas dalam pasar raya milik mereka bermula hujung bulan depan.
Konsep itu dilihat mampu meningkatkan perolehan Ko-Makmur, selain dapat membuka ruang kepada orang ramai membuat pilihan dengan lebih mudah.
Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd. Faizuddin Che Mahmood berkata, konsep kedai emas dalam pasar raya itu akan dilakukan secara berperingkat selepas sambutan Aidilfitri ini dan dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
“Kita di KO-Makmur mempunyai indeks pencapaian prestasi (KPI) yang perlu dipenuhi dan bagi KPI tahun ini, kita sasarkan pembukaan 10 cawangan (pasar raya) di daerah Kuantan sahaja.
“Buat masa ini kita sudah ada cawangan di Indera Sempurna dan Indera Mahkota, dan hari ini kita buka satu lagi cawangan pasar raya di Sungai Karang dan dalam seminggu dua lagi, kita akan buka satu lagi (cawangan) di Lipis.
“Secara keseluruhannya, dalam masa tiga hingga lima tahun, Ko-Makmur merancang untuk membuka sekurang-kurangnya 300 pasar raya MG Coop Mart di seluruh negara dengan setiap cawangan mempunyai kedai emas Makmur Gold,” katanya selepas mengagihkan 500 ayam proses percuma kepada orang ramai di pasar raya MG Coop Mart di Sungai Karang di sini, semalam.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu.
Mengulas mengenai perkembangan sektor peruncitan dan potensinya, Mohd. Faizuddin berkata, sektor itu tidak diteroka oleh Bumiputera bukan disebabkan malas, tetapi tidak diberi peluang.
“Saya memang tidak bersetuju apabila ada orang cakap (orang) Melayu malas kerana sebenarnya kita tidak diberi peluang untuk meneroka bidang ini dan bersaing dengan pihak lain.
“Kita di Makmur Gold dan KO-Makmur berpegang kepada konsep asas iaitu bersedekah, kita yakin bahawa cara untuk menarik rezeki adalah melalui sedekah dan berkongsi (rezeki) dan tidak patut timbul dakwaan Melayu malas kerana di sini (Makmur Gold dan Ko-Makmur) semuanya diusahakan sekumpulan anak muda yang rajin dan bersemangat,”ujarnya.-K!ONLINE