KOTA BHARU – Sebanyak 10 kes varian Afrika Selatan B.1.351 yang dikesan di Kelantan setakat ini dipercayai berpunca daripada penduduk negeri ini yang menghadiri majlis atau kenduri di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, semua kes yang terlibat dengan varian kes itu dikesan dari Kluster Bunut Sarang Burung setakat semalam.
“Siasatan mendapati penularan varian itu daripada hasil pergerakan rentas negeri dari Kelantan mungkin untuk menghadiri majlis atau kenduri di Kuala Lumpur.
“Kita orang Kelantan, suka berderak (berjalan) dan gelewak (menyibuk), namun elakkan dahulu aktiviti itu kerana keadaan Covid-19 semakin serius di negeri ini dengan lebih 400 kes sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Varian Afrika Selantan dilaporkan mempunyai kebolehjangkitan tinggi dan mampu mengurangkan imuniti apabila individu dijangkitinya dikatakan mengalami kesan lebih buruk berbanding varian sedia ada.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Izani berkata, Covid-19 di Kelantan diakui kritikal sehingga menyebabkan kerajaan negeri mengambil keputusan membuka hospital medan serta menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Katanya, selain fasiliti hospital tidak mencukupi, Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital juga mencecah hampir 100 peratus sehingga ada pesakit lain yang kritikal terpaksa ditempatkan di wad biasa.
“Kelantan kini turut kekurangan kakitangan kesihatan dan kita ditampung petugas yang dipinjamkan dari negeri lain terutama Kedah. Jika mereka dipanggil berkhidmat ke negeri asal, Kelantan bakal berdepan masalah besar,” katanya. – K! ONLINE