MILAN – Inter Milan hanya menunggu masa sebelum meraikan kejayaan sebagai juara Serie A musim ini sekali gus menamatkan dominasi Juventus yang meraih Scudetto sembilan edisi berturut-turut sejak 2011/2012.
Kemenangan 2-0 ke atas Crotone pada aksi Serie A di Stadio Ezio Scida awal pagi semalam menyaksikan Inter selesa menerajui carta liga dengan kelebihan 13 mata selepas 34 perlawanan.
The Nerazzurri akan ditabalkan sebagai juara rasmi jika pencabar terdekat, Atalanta tewas kepada Sassuolo, namun jika sebaliknya berlaku mereka hanya memerlukan satu mata dalam baki empat perlawanan terakhir.
Pemain tengah Inter, Christian Eriksen berpuas hati kerana berjaya meledak satu gol awal pagi semalam bagi membantu pasukannya menamatkan penantian bergelar juara Scudetto sejak musim gemilang 2009/2010.
“Ia bukan jaringan rasmi kemenangan Scudetto kerana kami perlu menunggu keputusan antara Atalanta dan Sassuolo. Namun, kami sudah menghampiri penghujung untuk menjuarai gelaran.
“Saya jarang menjaringkan gol, jadi saya sangat gembira dengan kejayaan ini kerana ia amat penting untuk merealisasikan matlamat pasukan,” katanya.
Sebagai rekod, Eriksen membuka tirai jaringan buat Inter pada minit ke-69 sebelum skuad bimbingan Antonio Conte itu memastikan kemenangan dengan gol kedua melalui Achraf Hakimi pada minit ke-92.
Jika disahkan bergelar juara, The Nerazzurri masih perlu meneruskan baki empat perlawanan menentang Sampdoria (9 Mei), AS Roma (13 Mei), Juventus (16 Mei) dan Udinese pada 23 Mei nanti. – AGENSI