SIAPA pernah menyangka aliran muzik nasyid dan rock punk boleh bergabung sehingga terhasilnya sebuah karya hebat.
Tidak pernah terlintas dalam benak fikiran tetapi itulah yang terjadi kepada dua nama besar, Inteam dan Sam Bunkface.
Meluncur dengan naskhah terbaharu, Mencari Sinar hasil ciptaan sepenuhnya oleh Allahyarham Ahmadi Hassan, Inteam dan Sam dilihat berjaya mencari titik keserasian dalam lagu berkenaan.
Sam dipinang
Bercerita lanjut mengenai titik permulaan kolaboratif tersebut, Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Anuar Mohd. Baharom mengakui, langsung tidak terfikir bahawa perkara tersebut bakal menjadi realiti.
Katanya, dia sebenarnya dipinang Inteam untuk ‘perkahwinan’ dua genre total berbeza tersebut.
“Jika orang tanya tentang kerjasama ini, saya sendiri terfikir bagaimana hendak gabungkan nasyid dan rock punk.
“Namun, selepas mendengar lagu Mencari Sinar, banyak benda yang boleh diubah untuk jadikan karya besar itu sesuai dengan aliran muzik kami,” kongsinya kepada HibGlam baru-baru ini.
Mahu menjadikan lagu tersebut lebih segar, antara elemen baru yang dizahirkan Sam ialah mengubah susunan muzik dan melajukan tempo sedia ada.
“Paling istimewa, ini kali pertama saya rap dalam sebuah lagu. Saya anggap percubaan pertama ini berjaya.
“Alhamdulillah semua perancangan kami berjalan lancar sepanjang proses rakaman dilakukan. Inteam sebuah kumpulan yang hebat dan sangat terbuka menerima pendapat dan perkara baharu,” tuturnya.
Menganggap kerjasama tersebut sebagai unik, Sam memberitahu dia sememangnya sudah menanti lama detik untuk menyebut kalimah Allah SWT dalam lagu nyanyiannya.
Bahkan, bapa kepada Maleeq, 5, itu menganggap kerjasamanya dengan In-Team sebagai doa yang telah dimakbulkan oleh Tuhan.
“Sebelum ini, lagu-lagu Bunkface banyak mesej kesedaran yang tersirat tetapi tidaklah islamik.
“Selalu juga terfikir bila agaknya akan dapat peluang menyebut nama Allah SWT atau Tuhanku dalam lagu. Akhirnya semua itu menjadi realiti. Alhamdulillah,” katanya yang pernah memasang impian untuk memiliki sebuah album nasyid sendiri suatu hari nanti.
Relevan
Inteam yang dianggotai oleh empat jejaka iaitu Mohd. Syahril Abdul Khalid, Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman menyifatkan Mencari Sinar sebagai naskhah istimewa selepas
hampir 20 tahun bergelumang dalam industri muzik tanah air.
Menyingkap lebih dalam mengenai mesej lagu tersebut, Mohd. Syahril berpendapat karya sebegitu sangat bersesuaian dengan Ramadan yang penuh kemuliaan.
“Kami sangat berbesar hati dapat merakam lagu ini. Bahkan, jalan cerita lagu ini juga sangat kena dengan situasi negara yang dilanda wabak Covid-19, masih ramai yang tercari-cari hala tuju kehidupan.
“Naskhah tersebut berkisar tentang hijrah, taubat dan mencari hidayah dari Pencipta. Rasanya Mencari Sinar akan menjadi lagu yang relevan sepanjang zaman. Tak akan basi,” tuturnya.
Seorang lagi anggota Inteam, Hazamin menjelaskan lagu berkenaan pernah diterbitkan sekitar tahun 2000.
“Anak kepada pencipta lagu itu meluahkan hasrat agar Inteam dendangkan lagu berkenaan.
“Paling memeranjatkan, mulanya kami sangka bahagian rap dalam lagu ini dicipta oleh Sam tetapi rupa-rupanya elemen tersebut sudah diletakkan dalam demo asal.
“Maka, terhasillah Mencari Sinar versi muzik yang sudah diperbaharui oleh Sam dan Epul Kuat,” kata Hazimin.
Mengakhiri perbualan, Sam dan Inteam menzahirkan harapan agar nukilan istimewa tersebut mampu mencetuskan inspirasi kepada khalayak.