fbpx

Imuniti kelompok perlu dicapai sebagai persiapan hadapi varian baharu Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adham

PUTRAJAYA – Malaysia perlu mencapai imuniti kelompok lebih awal berbanding yang disasarkan bagi mengelak ancaman beberapa varian baharu Covid-19 ke negara ini akhir-akhir ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pihaknya mendapati berlaku peningkatan kes pesakit kritikal kategori empat dan lima di hospital ketika ini berbanding akhir tahun lalu berpunca daripada lewat mendapatkan rawatan di hospital.

“Kami juga mendapati, perkara itu berlaku berkemungkinan disebabkan varian baharu yang lebih agresif ketika ini yang mana ia turut membawa kesan komplikasi kesihatan yang lebih serius.

“Kita sedang mengkaji perkara ini. Pemerhatian klinikal juga mendapati terdapat perubahan profil pesakit berusia kurang 60 tahun yang kini menunjukkan gejala lebih serius berbanding sebelum ini.

“Mereka juga kurang menunjukkan reaksi terhadap rawatan yang diberikan berbanding awal pandemik tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di sini, hari ini.

Katanya, bagi menangani masalah ini, kementeriannya bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin (JKJAV) perlu memastikan negara mencapai imuniti kelompok lebih awal.

Adham berkata, beliau juga menyeru orang ramai supaya menjalani saringan Covid-19 seawal mungkin apabila bergejala ataupun mempunyai konteks rapat dengan pesakit Covid-19 supaya rawatan awal dapat diberikan.

Menurutnya, berdasarkan data dikeluarkan Pasukan Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), peratusan pesakit Covid-19 bagi kategori empat dan lima meningkat secara ketara sejak Januari hingga April lalu.

“Peratusan pesakit kategori empat dan lima ada Januari adalah 6.7 peratus sebelum ia meningkat kepada 25.2 peratus pada April lalu.

“Analisa itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding kes pesakit kategori empat dan lima yang direkodkan pada akhir tahun lalu iaitu sekitar 5.6 peratus sahaja,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI