GEORGE TOWN – Dua pekerja dilaporkan melecur pada badan dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah kapal muatan minyak diesel di Pusat Perdagangan Pelabuhan, Gat Lebuh Maccalum di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa lelaki tempatan berketurunan India dan Melayu dikatakan melecur tahap dua.
Kedua-dua mereka berusia dalam lingkungan 30 dan 50-an itu telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Muzamer Mohd. Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.02 petang dan tiba di lokasi kurang 15 minit kemudian.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kebakaran melibatkan sebuah kapal yang membawa muatan minyak diesel dan dua mangsa telah berjaya diselamatkan.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 4.44 petang dan kerja-kerja pengawalan serta pemadaman masih dilakukan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Bagan Jermal dan Bayan Baru.
“Operasi pemadaman turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela berdekatan,” tambahnya. – K! ONLINE