KUANTAN – Ratusan ibu bapa dan murid mengerumuni Klinik Kesihatan Beserah di sini hari ini bagi menjalani ujian calitan Covid-19 berikutan lonjakan kes Covid-19 di beberapa sekolah di bandar ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati proses terbabit kelihatan tidak teratur apabila ibu bapa tepaksa menunggu dalam barisan panjang di bawah cuaca panas terik dan tiada penjarakan sosial.
Rata-rata ibu bapa yang hadir menemani anak masing-masing terpaksa berpayung untuk mengelak cuaca panas selain ada yang berteduh di bawah pokok dan kaki lima.
Selain itu, tinjauan turut mendapati tiada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditempatkan sepanjang proses itu berlangsung sehingga kesesakan di pintu utama klinik disebabkan kereta yang diletakkan di situ.
Difahamkan, kira-kira 500 murid daripada lima sekolah di bandar ini dijadualkan menjalani ujian calitan Covid-19 hari ini.
Seorang bapa, Norazlan Alias, 50, berkata, dia tiba di klinik terbabit kira-kira pukul 9.30 pagi dan selesai menjalani semua prosedur bekenaan kira-kira pukul 1.40 petang.
“Ibu bapa dan anak-anak diminta melengkapkan dokumentasi sebelum pergi ke khemah yang disediakan untuk menjalani ujian calitan namun proses terbabit dilihat kurang teratur ditambah pula cuaca panas terik.
“Pada pandangan saya lebih baik proses ini diadakan di dewan tertutup seperti yang dibuat baru-baru ini membabitkan kakitangan Alam Flora dan MBK (Majlis Bandaraya Kuantan) yang diadakan di Wisma Belia Indera Mahkota,” katanya. – K! ONLINE