fbpx

‘Bebaskan’ paten teknologi vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
- Pelepasan paten teknologi vaksin bukan hanya atas dasar perikemanusiaan tetapi langkah penting secara saintifik. - AFP

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) digesa menyeru semua negara yang menghasilkan vaksin Covid-19 agar mengetepikan sementara hak paten persendirian sebagai alternatif menampung kekurangan bekalan yang semakin meruncing.

Menurut laporan Thai PBS World semalam, pelepasan ini akan menjadikan semua ubat, rawatan dan vaksin Covid-19 bebas paten sekaligus membolehkan pengeluar di seluruh dunia menghasilkannya di negara masing-masing tanpa perlu menunggu vaksin yang diimport dari luar.

Cadangan ini dikemukakan oleh India dan Afrika Selatan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia menerusi sepucuk surat rasmi, baru-baru ini.

Disebabkan Covid-19 masih menular dengan meluas di seluruh dunia dengan negara seperti India dan Brazil berada dalam situasi yang kritikal, pembebasan sementara hak pengeluaran vaksin dengan menjadikan teknologi tanpa paten boleh membantu mempercepat program vaksinasi global.

Sekumpulan pakar kesihatan dari India dan Afrika Selatan mendakwa tentangan politik di Washington menghalang kemajuan skim global vaksin tanpa paten.

Ratusan fakulti, pentadbir, pelajar dan pengamal kesihatan awam telah mengutarakan cadangan tersebut kepada pentadbiran Presiden AS, Joe Biden agar pengabaian sementara diberikan dalam sektor penghasilan vaksin Covid-19 terutama yang dalam aspek berkaitan Hak Kekayaan Intelektual.

Menurut kumpulan pakar tersebut, keadaan di dunia tidak akan bertambah baik sehinggalah vaksin, rawatan dan ujian tersedia di seluruh dunia untuk semua orang yang memerlukan.

Keengganan berkongsi teknologi yang amat diperlukan bagi menghasilkan semula vaksin Covid-19 boleh menjadi punca program vaksinasi seluruh dunia menjadi lembab selain merugikan sektor kesihatan secara global.

Surat itu menganggarkan beberapa negara miskin dan membangun mungkin tidak akan memiliki akses penuh untuk program vaksinasi sehingga akhir 2034, iaitu sedekad dari sekarang.

Pengabaian sementara hak paten bukan hanya atas dasar perikemanusiaan tetapi satu langkah yang penting secara saintifik, kata pakar kesihatan.

“Sehingga vaksin, ujian, dan rawatan dapat diakses oleh semua orang di mana sahaja, kita semua berdepan berisiko mendapat varian baharu berulang, kurang ketahanan terhadap ubat-ubatan dan kehilangan nyawa di seluruh dunia,” kata kenyataan itu kepada kerajaan AS.

“Situasi ini boleh dielakkan andai negara-negara maju bekerjasama dan berkongsi teknologi perubatan untuk mempercepat pengeluaran, bekalan vaksin, diagnosis dan rawatan dengan dunia terutama negara membangun bagi menguruskan Covid-19,” demikian menurut surat tersebut. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI