PETALING JAYA – Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan maut selepas terjatuh dari tingkap bilik, di tingkat tiga Blok D, PPR Sri Aman, Jalan Aman Putra, Kuala Lumpur di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima laporan berkenaan kematian mengejut bayi berkenaan sekitar pukul 6 petang.
Menurutnya, pasukan polis dari Balai Polis Jinjang telah menjalankan siasatan di tempat kejadian.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa dikatakan sedang bermain bersama abang, kakak dan sepupunya di atas katil bahagian atas bersebelahan dengan tingkap yang berada dalam bilik pertama rumah.
“Pengadu memaklumkan katil telah dirapatkan ke bahagian tingkap untuk mengemas bilik tersebut dan siasatan polis juga mendapati tingkap di dalam bilik tersebut tidak mempunyai pagar dan katil telah diletakkan di tengah tingkap tanpa sebarang halangan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam insiden berkenaan.
“Ibu mangsa telah membawa mangsa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan dan apabila tiba di Unit Kecemasan hospital itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan.
“Hasil laporan bedah siasat yang dilakukan mendapati kematian berpunca daripada kecederaan parah di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi,” ujarnya.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – K! ONLINE