fbpx

Tiga kenderaan kemalangan, seorang pemandu retak tulang rusuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba sedang mengeluarkan pemandu yang tersepit di lokasi kejadian hari ini. - Foto IHSAN BOMBA

PETALING JAYA – Seorang pekerja swasta retak tulang rusuk selepas kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux yang dipandunya terbabas lalu merempuh lori dan bergesel dengan sebuah van lain di Jalan Loke Yew menghala ke pusat bandar, di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 7.10 pagi itu, dua pemandu lain yang berusia 20 dan 25 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan di kepala dan lebam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku melibatkan tiga kenderaan iaitu jip jenis Toyota Hilux, van Ford Econovan dan lori Toyota.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila pemandu jip yang berusia 20 tahun telah terbabas dan merempuh lori lalu bergesel van berkenaan.

“Rempuhan kuat Toyota Hilux terhadap lori tersebut menyebabkan kedua-duanya telah terbalik di atas jalan raya manakala van pula melanggar pokok dan tiang yang berada atas pembahagi jalan,” ujarnya hari ini.

Jelasnya, ketiga-tiga pemandu telah dirujuk ke hospital dan mengalami kecederaan ringan.

“Pemandu Toyota Hilux mengalami keretakan pada tulang rusuk manakala pemandu lori pula pengsan sejurus kejadian, bagaimanapun telah sedar dan dihantar ke wad biasa untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu dibantu BBP Hang Tuah dan BBP
Bandar Tun Razak dikejarkan ke lokasi bagi mengeluarkan pemandu yang tersepit.

Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB), Mohd Khairul Azmi Jaafar berkata, seorang pemandu didapati tersepit ketika pihak bomba tiba di lokasi.

“Mangsa berjaya di bawa keluar oleh anggota bomba sekitar pukul 7.18 pagi dan kesemua mangsa yang cedera
telah diberi rawatan awal oleh Pasukan Khas Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS),” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI